
Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) akan mengadakan Lawatan Kepimpinan dan Perpaduan Global ke Pusat Dunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).
Melalui Program Persahabatan Global 2026 ini, seramai 20 orang Pandu Puteri dan Pemimpin PPPM daripada 18 cawangan di seluruh Malaysia akan berlepas pada malam ini, 14 November 2026, ke London sebagai Duta Global PPPM ke Pusat Dunia WAGGGS, Pax Lodge, di London, United Kingdom.
Mereka akan berada di sana dari 15 hingga 20 November 2026.
Ini menandakan lawatan keempat PPPM dibawah program ini yang merangkumi 47 orang
ke Pusat Dunia WAGGGS.
Lawatan ini diadakan dengan objektif utama untuk mengiktiraf ahli Pandu Puteri dan pemimpin yang telah mengorbankan masa , menunjukkan komitmen, disiplin, dan kecemerlangan dalam kepimpinan serta khidmat masyarakat di peringkat negeri dan kebangsaan.
Di samping itu, lawatan ini juga bertujuan memperkukuh pemahaman dan penghayatan jati diri kebangsaan dalam kalangan ahli Pandu Puteri, di mana setiap ahli berperanan sebagai duta Malaysia yang menjunjung nilai-nilai perpaduan, saling menghormati, dan kesukarelawanan—selaras dengan Persetiaan Pandu Puteri untuk berbakti kepada Tuhan, Raja, dan Negara, serta mematuhi Undang-Undang Pandu Puteri.
Sepanjang lawatan selama enam hari tersebut, para peserta akan menyertai pelbagai aktiviti kepimpinan, pertukaran budaya, dan sesi perkongsian antarabangsa bersama rakan-rakan Pandu Puteri dari seluruh dunia di Pax Lodge, sambil mempamerkan budaya, warisan, dan keunikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Adalah menjadi harapan saya agar lawatan ini bukan sahaja dapat memupuk pemimpin muda yang lebih berkeyakinan, berfikiran global, dan patriotik, tetapi juga mengeratkan jaringan persahabatan antarabangsa serta memartabatkan kedudukan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di persada dunia.
Perpaduan adalah kekuatan (Unity is Strength)
Berkhidmat untuk negara melalui Pandu Puteri,
Dato' Yeoh Soo Keng
Ketua Pesuruhjaya
Persatuan Pandu Puteri Malaysia