Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) menawarkan satu keluarga antarabangsa kepada remaja wanita dan wanita muda melalui Pandu Puteri dan Pengakap Puteri. Remaja wanita dan wanita muda di seluruh dunia dihubungkan melalui persefahaman, persahabatan, Persetiaan dan Undang-Undang Pandu Puteri dan Pengakap Puteri, serta aspirasi untuk menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih baik.

WAGGGS ialah organisasi payung kepada pertubuhan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri di dunia. Terdapat 145 Organisasi Ahli dalam WAGGGS yang ditadbir melalui lima rantau iaitu Afrika, Arab, Asia Pasifik, Eropah dan Hemisfera Barat.
Melalui Organisasi Ahlinya, WAGGGS membekalkan program pendidikan bukan formal yang berkualiti tinggi serta menawarkan latihan yang dinamik, fleksibel dan berasaskan nilai dalam bidang seperti kemahiran hidup, kepimpinan dan membuat keputusan.

WAGGGS menawarkan projek dan program di peringkat antarabangsa yang membolehkan ahli Pandu Puteri dan Pengakap Puteri menjadi warga dunia yang bertanggung jawab melalui semangat berpasukan, khidmat masyarakat dan bertindak terhadap isu yang memberi kesan kepada mereka.
WAGGGS mempunyai lebih 10 juta ahli. Dengan itu, organisasi ini dapat berfungsi sebagai satu tapak perbincangan dan membuat keputusan untuk isu yang memberi kesan kepada remaja wanita dan wanita muda.

Melalui WAGGGS, wanita muda berpeluang berjumpa dengan rakan sebaya di seluruh dunia dan melibatkan diri dalam projek antarabangsa dengan rakan kongsi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.
