Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Persatuan Pandu Puteri Malaysia
Girl Guides Association Malaysia

Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia disampaikan setiap dua tahun sebagai:

  • Penghargaan kepada seorang ahli yang pernah atau sedang terlibat dalam Persatuan Pandu Puteri sehinggakan boleh dijadikan sebagai teladan (role model) dalam kerja sukarela dan berjaya menaikkan nama dan martabat Persatuan Pandu Puteri sama ada di peringkat Daerah, Cawangan atau Kebangsaan.
  • Penghormatan kepada wanita yang kerap menggunakan sumber, bakat dan pengaruh yang ada padanya secara efektif untuk membantu wanita lain mencapai potensi mereka.
  • Penghormatan kepada wanita bukan warga negara Malaysia yang memberi sumbangan meningkatkan imej Persatuan Pandu Puteri Malaysia di negara Malaysia

Anugerah Srikandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia terdiri daripada:

  • Pingat Emas Sri Kandi
  • Sebuah Trofi
  • Sijil

Kriteria

Calon hendaklah dicalonkan oleh Persatuan Pandu Puteri Cawangan atau Ibu Pejabat Kebangsaan dan memenuhi kriteria berikut:

  • Seorang wanita yang tulus dan berperibadi mulia
  • Mempunyai kemahiran kepimpinan yang cemerlang dan menggunakan kemahiran ini untuk meluaskan lagi peluang wanita lain
  • Menjadi contoh (Role Model) dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia
  • Memberi sumbangan yang cemerlang sebagai seorang sukarelawan atau pun seorang profesional dalam jangka masa yang signifikan
  • Berjuang untuk menggalakkan semangat berdikari di kalangan wanita
  • Memula dan menyelenggarakan dengan sempurna beberapa program yang memenuhi keperluan khas untuk wanita
  • Menyumbang dan meningkatkan status pencapaian dan perkembangan ahli dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Proses Pemilihan Anugerah Sri Kandi

  • Persatuan Pandu Puteri Malaysia menghantar criteria yang telah ditetapkan kepada Ketua Pesuruhjaya Cawangan.
  • Ketua Pesuruhjaya Cawangan dan Jawatan Kuasa Pemilihan Cawangan kenal pasti calon mengikut criteria yang telah ditetapkan oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
  • Ketua Pesuruhjaya Cawangan menghantar nama calon yang telah dipilih kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk perhatian Jawatan Kuasa Anugerah Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
  • Jawatan Kuasa Anugerah Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menghalusi latar belakang calon.
  • Jawatan Kuasa Anugerah Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan bermesyuarat dan membuat pilihan.
  • Calon akan menerima tawaran dan borang biodata untuk dilengkapkan dari Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
  • Calon memulangkan borang biodata kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
  • Surat jemputan ke Majlis Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan dihantar kepada penerima yang bersetuju menerima anugerah tersebut dua minggu sebelum tarikh majlis penganugerahan.
  • Majlis Anugerah diadakan dan calon menerima Anugerah tersebut.
  • Dua orang ahli keluarga penerima akan dijemput ke Majlis Anugerah Sri Kandi.
  • Keputusan Jawatan Kuasa Penilaian adalah muktamad.

Pingat Bintang Kehormatan

Pingat Bintang Kehormatan adalah Penghormatan yang tertinggi sekali dan diberi kepada ahli-ahli periman yang membuat jasa terbaik kepada Persatuan Pandu Puteri seluruhnya.

Penerima Anugerah Tahun 2000 – 2006


Tahun 2000

  1. Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia
  2. Anugerah Pingat Bintang Kehormatan
    • Y.A.B. Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj. Mohd. Isa bin Hj. Abdul Samad
    • Y.Bhg. Tan Sri Halim bin Saad
  3. Anugerah kepada Mantan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia
    • 1958 – 1972 Puan L. Navaratnam
    • 1973 – 1982 Y.Bhg. Dato’ Hajah Hendon bt Haji Din
    • 1983 – 1993 Puan Nik Faizah bt Mustapha
    • 1993 – 1998 Puan Hajah Halimah bt Mohd Taib (Allah Yarhamah)

Tahun 2002

  1. Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia
  2. Anugerah Pingat Bintang Kehormatan
    • Y.Bhg. Datuk Abdul Rafie bin Mahat

Tahun 2004

  1. Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia
  2. Anugerah Pingat Bintang Kehormatan
    • Y.Bhg. Tan Sri Azman Bin Hashim
    • Y.M. Dato’ Raja Ruslan Bin Raja Samad
    • Puan Hajah Fatimah bte Mohamed

Tahun 2006

  1. Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia
  2. Anugerah Pingat Bintang Kehormatan
    • Y.Bhg. Dato’ Lim Kang Yew
    • Puan Hajah Noor Rezan Bt. Bapoo Hashim

Anugerah Srikandi 2006

Biodata Penerima Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2006

Y.M. Tunku Dato' Hajjah Fatimah Binti Tunku Sulaiman

Y.M. Tunku Dato’ Hajjah Fatimah Binti Tunku Sulaiman telah dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 20 Januari 1925, dan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kuala Pilah, seterusnya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Tuanku Mohammad, Kuala Pilah.

Pada tahun 1943, Y.M. Tunku Dato’ Hjh Fatimah telah mendirikan rumah tangga dengan Y.M. Tunku Mohamad Jamil Bin Almarhum Y.T. Mulia Tunku Besar Burhanuddin.

Y.M. Tunku telah menceburkan diri dalam masyarakat setempat yang berbilang kaum, di mana jua beliau berada. Oleh kerana minat dan ingin berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat, Y.M. Tunku menceburkan diri secara aktif dalam kerja-kerja sukarela dan kebajikan serta menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat sehingga kini. Antara penglibatan Y.M. Tunku ialah:

  • Ahli Perkumpulan Perempuan (W.I.) Daerah Kuala Pilah (1953)
  • Pengerusi Perkumpulan Perempuan (W.I.) Daerah Kuala Pilah (1956 - 1958)
  • Pengerusi Perkumpulan Perempuan (W.I.) Daerah Jelebu (1959)
  • Ahli Lembaga Pelawat Hospital Daerah Jelebu
  • Ahli Lembaga Pengurus Government English School (S.R.U. sekarang) Daerah Jelebu
  • Menubuhkan Perkumpulan Perempuan (W.I.) Gedung Lalang (1964) o Pengerusi Perayaan Hari Pahlawan Negeri Sembilan (1968)
  • Naib Pengerusi Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan (1970)
  • Pengerusi F.O.S.A.H. (Friends of the Sick and Hospital) (1970)
  • Ahli Lembaga Rumah Orang-Orang Tua dan Penasihat Kanak-Kanak Daerah Seremban (1970 – 1973)
  • Ahli Lembaga Pelawat Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah (1981 – 1988)
  • Ahli Jawatankuasa Kanak-Kanak Cacat Daerah Seremban (1974 – 1988).
  • Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Perhubungan Negeri Sembilan (2000 hingga sekarang)

Pada tahun 1999, Y.M. Tunku telah mengadakan acara Charity Golf untuk menjana dana Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dan berjaya mendapat kutipan sebanyak RM 300,000.

Atas jasanya kepada masyarakat, Y.M. Tunku Dato’ Fatimah telah dikurniakan Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Pingat D.P.T.J., D.S.N., P.P.T., P.M.C. dan P.J.K.

Y.M. Tunku telah dikurniakan Pingat A.M.N. oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong . Pada tahun 1988, Y.M. Tunku telah menerima anugerah “Tokoh Wanita” sempena perayaan Hari Wanita Peringkat Negeri Sembilan.


 

Y.Bhg Toh Puan Rahimah Stephens

Y. Bhg. Toh Puan Rahimah Stephens dilahirkan di Beaufort, Sabah pada 22 Oktober 1930. Toh Puan Rahmah adalah isteri kepada Allayarham Tun Fuad Stephens, Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah yang pertama. Mereka telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Toh Puan Rahimah terlibat dalam Pandu Puteri sejak usia muda. Beliau pernah menjadi ahli Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja dan Pandu Puteri Renjer semasa di bangku sekolah. Pada tahun 1951, Toh Puan Rahimah memimpin pasukan Pandu Puteri Tunas sebagai Kakak Setia di Jesselton (sekarang dikenali sebagai Kota Kinabalu). Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Negeri dari 1959 hingga akhir tahun 60-an. Pada tahun 1974, iaitu semasa suami beliau dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Rahimah telah dilantik sebagai Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah.

Sepanjang penglibatan dalam Pandu Puteri, Toh Puan Rahimah telah memberi banyak bantuan dan sokongan moral kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah. Pada tahun 2000, Toh Puan Rahimah membantu dalam jualan meja untuk satu majlis di Hotel Magellan Sutera bagi menjana dana Persatuan sempena Ulang Tahun Ke-80 Pandu Puteri di Sabah. Beliau juga terlibat dengan persediaan dan perundingan dengan pihak Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu untuk menjayakan Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada Jun 2006.

Selain penglibatan dalam Pandu Puteri, Toh Puan Rahimah juga aktif dalam persatuan lain seperti Sabah Anti Tuberculosis Association (SABATA), Persatuan Bulan Sabit Merah, Inner Wheel Club, National Stokees Association, Cawangan Sabah (NASAM), dan Senior Citizen Association. Beliau juga merupakan pengasas Sabah Heart Fund (SOS).

Toh Puan Rahimah terlibat secara aktif dalam politik sejak 1961. Beliau pernah menjadi Ketua Wanita Parti UNKO (kemudian dinamakan UPKO) yang ditubuhkan oleh suami beliau, Allahyarham Tun Fuad Stephens. Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Wanita Parti Berjaya dan menjadi Wakil Rakyat Kawasan Kiulu. Pada 17 Julai 1976, beliau dilantik sebagai Menteri Kebajikan dalam Kerajaan Negeri Sabah. Beliau merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri dalam Kerajaan Negeri Sabah.

Sumbangan Toh Puan Rahimah kepada masyarakat telah mendapat pengiktirafan oleh pelbagai pihak. Beliau menerima Anugerah P.G.D.K. yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1971 dan Anugerah S.P.D.K. yang membawa gelaran Datuk Panglima pada tahun 1982. Pada tahun 1985, beliau dianugerahkan “Tun Fatimah Gold Award” oleh NCWO. Toh Puan Rahimah menerima anugerah “Tokoh Wanita” sempena Hari Wanita 2003 pada 19 Oktober 2003.


 

Yang Hormat Dato' Nik Faizah Mustapha

Yang Hormat Dato’ Nik Faizah Mustapha memulakan kariernya sebagai Guru Siswazah di Sekolah Menengah Zainab, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1966. Sepanjang tempoh 31 tahun perkhidmatan beliau di Kementerian Pelajaran Malaysia, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Baru, Kuala Lumpur (1972 – 1975), di Pusat Perkembangan Kurikulum (1975 – 1987), Timbalan Pengarah II Lembaga Peperiksaan (1987 – 1990), Pengetua Maktab Perguruan Ilmu Khas (1990 – 1993), Timbalan Pengarah I Bahagian Pendidikan Guru (1993) dan Ketua Nazir Sekolah, Jemaah Nazir Malaysia (1993 – 1997).

Selepas beliau bersara wajib pada tahun 1997, beliau dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan berkhidmat selama lima tahun hingga tahun 2002. Kini, Dato’ Nik Faizah berkhidmat di Ibu Pejabat Kebangsaan Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebagai Pengurus Pandu Puteri.

Dato’ Nik Faizah mula terlibat dalam Pandu Puteri sebagai ahli Pandu Puteri (1922 – 1957) dan ahli Kadet (1958 – 1959) di Malay Girls College, Kuala Lumpur. Pada tahun 1960, beliau mewakili Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Seminar Juliette Low di Our Chalet, Switzerland.

Beliau pernah menjadi Pemimpin Pasukan di Sekolah Aminuddin Baki Kuala Lumpur dan SMK Kg Baru Kuala Lumpur dari tahun 1966 hingga 1972. Dato’ Nik Faizah pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pandu Puteri di peringkat kebangsaan sebanyak dua kali iaitu dari tahun 1972 hingga 1978 dan 1980 hingga 1983. Beliau telah mewakili Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk menghadiri Persidangan Dunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) di Iran pada Julai 1978.

Pada tahun 1983, Dato’ Nik Faizah Mustapha dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan berkhidmat selama 10 tahun hingga tahun 1993. Dalam tempoh itu, Dato’ Nik Faizah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Rantau Asia Pasifik, WAGGGS pada tahun 1984 hingga 1987 dan seterusnya sebagai Pengerusi jawatankuasa yang sama pada tahun 1987 hingga 1990.

Beliau kembali berkhidmat dengan Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Latihan dan Perkembangan pada tahun 1993 hingga sekarang. Dalam pada itu, beliau merupakan Pengurus Pandu Puteri di Ibu Pejabat Kebangsaan dari tahun 1997 hingga sekarang. Beliau juga merupakan Penyelaras Utama Program Signatur Antarabangsa, satu projek antarabangsa yang berlangsung dari tahun 2004 hingga 2006.

Antara sumbangan Yang Hormat Dato’ Nik Faizah Mustapha kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia ialah memimpin ahli remaja di peringkat sekolah, merancang dan melaksanakan program dan aktiviti Pandu Puteri di peringkat kebangsaan, memurnikan Perlembagaan Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang diwarisi sejak tahun 1957, dan menyusun dan memurnikan Skim Latihan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk dinilai dan diiktirafkan oleh WAGGGS agar digunakan di dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Semasa beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, beliau telah memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian ilmu di kalangan pemimpin dewasa menerusi pelbagai kursus dan latihan; penggubalan dan pengeluaran buku dan bahan Pandu Puteri; mendapatkan penaja dan penderma untuk menampung pembinaan bangunan Ibu Pejabat Kebangsaan dan menggalakkan sumbangan fikiran dan khidmat sukarela Pemimpin dan Pesuruhjaya agar mereka sama-sama terlibat dalam perkembangan dan peningkatan Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Yang Hormat Dato’ Nik Faizah menerima Anugerah Tokoh Guru dari Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2000 sempena Hari Guru 2000 dan Anugerah Tokoh Belia Berjasa (Wanita) dari Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2005 sempena Hari Belia Negara 2005.

Pada 28 Oktober 2006, beliau telah dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) yang membawa gelaran Yang Hormat Dato’ oleh KDYMM Sultan Pahang.

 

Anugerah Srikandi 2004

Biodata Penerima Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2004

Y.T.M. Dato’ Tunku Mukminah bte Y.T.M. Tunku Mohd. Jiwa

Tunku Mukminah merupakan seorang sukarelawan yang dilahirkan pada 26 Januari 1933 di Alor Setar, Kedah. Cucunda kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan anak saudara kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, beliau menerima pendidikan asas di Sekolah Melayu Seberang dan diikuti di St. Nicholas Convent. Beliau adalah anak keempat dari sepuluh orang adik beradik dan dikahwinkan pada usia yang sangat muda oleh ayahanda beliau Almarhum Tunku Mohd. Jiwa.

Penyertaan Tunku Mukminah dalam kerja sukarela bermula pada usia yang muda bila beliau mengiringi ibu saudara beliau melawat rumah-rumah sakit dan rumah-rumah kebajikan serta memberi keselesaan kepada pesakit-pesakit dan orang-orang miskin.

Setelah merdeka, ayahanda saudara beliau Tunku Abdul Rahman memperakukan agar beliau bertugas di Women’s Institude ( WI ). Pada tahun 1958 beliau terpilih untuk menghadiri kursus selama 9 bulan di United Kingdom. Pada Jun 1958 beliau dijemput memberi ceramah di Royal Albert Hall mengenai pergerakan wanita di Malaya dan seterusnya ditemuramah oleh BBC.

Setelah kembali dari United Kingdom, beliau diberi tugas untuk menyusun pergerakkan wanita melalui WI di negeri-negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang hinggalah ke tahun 1963. Di akhir tahun yang sama beliau dipindahkan ke Kuala Lumpur dan terus memperkembangkan aktiviti beliau ke Negeri Sembilan dan Melaka di mana beliau mengajar wanita memasak dan menjahit. Dengan kerjasama Jabatan Perancang Keluarga beliau memberi ceramah kepada wanita-wanita luar bandar. Beliau juga membantu Jabatan Penerangan dengan memberi kursus-kursus kepada wanita-wanita dalam ilmu tata rakyat, hinggalah ke tahun 1974.

Sejak tahun 1974, Tunku Mukminah mula bergerak dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Selain menjadi ahli Jawatankuasa Kerja Kebangsaan, beliau juga dilantik menjadi ahli di dalam beberapa Jawatankuasa Kecil di ibu pejabat Persatuan Pandu Puteri Malaysia, khususnya jawatankuasa yang terlibat dengan mencari dana untuk Persatuan Pandu Puteri Malaysia.Melalui perkenalan beliau yang begitu luas, beliau telah berjaya mendapatkanbanyak derma untuk Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Sebagai ahli jawatankuasa Trefoil Guild dan kemudian menjadi pengerusinya, beliau telah menghadiri beberapa perjumpaan di luar negara seperti Asia Pacific Conference di Poona, India pada tahun 1982, ISGF 11th Asia Pacific Regional Conference di Napier, New Zealand tahun 2000 dan ISGF 23rd World Conference di Vancouver,Canada tahun 2002.

Selain dari penglibatan beliau di dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia, beliau turut memegang jawatan-jawatan penting di dalam persatuan-persatuan sukarela yang lain seperti Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya dan PERKIM.

Pada tahun 1968 beliau dianugerahkan pingat PJK oleh DYYM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dan pada 9 Januari 2003 beliau menerima anugerah Dato’ Setia Di Raja Kedah yang membawa gelaran Dato’ daripada DYMM Sultan Kedah.

Meskipun beliau menjadi ibu tunggal selama 23 tahun ( suami kesayangan beliau meninggal dunia) tetapi dalam kesibukan beliau menabur jasa kepada masyarakat dan negara, beliau berjaya membesarkan 3 orang anak serta di kelilingi oleh 9 orang cucu.

Y.T.M. Tunku Mukminah tidak mensia-siakan masa yang diberi oleh Allah S.W.T kerana beliau terus memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan sesiapa saja yang memerlukannya.


Puan Hasnah Saad

Puan Hasnah Saad dilahirkan pada 27 Februari 1939 di Kangar, Perlis. Kini telah menjangkau usia 65 tahun. Anak kepada pasangan Encik Saad bin Abdul Rahman dan Puan Ijah bt Che Man ini, merupakan anak kedua daripada lapan orang adik beradik yang terdiri daripada 3 perempuan dan lima lelaki.

Puan Hasnah memulakan alam persekolahan di Sekolah Perempuan ,Kangar pada tahun 1945 – 1948 sehingga darjah empat. Seterusnya beliau menyambung persekolahannya di Derma English School, Kangar sehingga memperolehi kelulusan SMC 1. Pada tahun 1950 beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Malay Girls College (TKC), Kuala Lumpur sehingga tamat tingkatan 5. Seterusnya beliau menyambung pengajian di tingkatan enam di Sultan Abdul Hamid College, Alor Star. Keputusan yang cemerlang dalam H.S.C pada tahun 1958 melayakkan beliau untuk meneruskan pengajian di MTC Abrimsford Lodge England pada tahun 1959 –1960 dengan mengkhusus dalam bidang geografi, matematik dan Pendidikan Jasmani. Beliau menamatkan pengajian pada tahun 1960 dan berjaya memperolehi Diploma Education. Pada tahun 1969 Puan Hasnah telah meyambung pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1972.

Sebelum kembali ke tanah air, Puan Hasnah telah memulakan tugasnya sebagai pendidik di Secondary Modern School (Sek Vocational & Tchnical) di Stafford selama 2 minggu. Seterusnya di Marclessfidd Grammar School for girl di Marrlessfield, Manchester selama 1 bulan dan di Cheshire Grammar School for Girl selama 1 bulan. Setelah kembali ke tanah air beliau memulakan khidmat beliau sebagai pendidik di Sekolah Menengah Ibrahim, Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1961. Sepanjang berkhidmat sebagai pendidik beliau telah mengajar di lapan buah sekolah, antaranya SM Ibrahim, Pasir Mas(1961) , SM Kamil, Pasir Putih,(1962 –1964) SM Arau, Perlis,91964) SM Abdul Samad, PJ, (1965-1966) SM Ungku Aziz, Sabak Bernam,(1967) SM Aminuddin Baki, Kuala Lumpur(1967- 1975) dan SM Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya.(1976 – Feb 1991). Beliau telah menamatkan khidmat baktinya sebagai pendidik pada 1 Mac 1991, setelah bergelumang dan menabur jasa bakti dalam bidang pendidikan selama 30 tahun.

Puan Hasnah , seorang yang aktif dalam bidang kokurikulum. Sewaktu menuntut di Brimsford Lodge, beliau diberi kepercayaan mengetuai Pasukan Netball dan turut terpilih untuk menyertai pasukan hoki kolej . Beliau juga turut mengikuti beberapa kursus luar kampus antaranya Latihan Berkayak di Plymouth pada Agos 1959 iaitu Cabaran kembara sepanjang 4 batu di laut. Pada tahun 1960 beliau telah mengikuti Latihan Pengadilan Netball di Sekolah, P.J di Lillishall. Pada April 1959 beliau telah mengikuti British Concil Course For Foreingn Student di Universiti St Andrew, Scotland.

Puan Hasnah mula melibatkan diri dalam pergerakan Pandu Puteri pada November 1951 sewaktu menuntut di Malay Girls College, Kuala Lumpur. Sepanjang dalam pergerakan Pandu Puteri, beliau menunjukkan minat dan kesungguhan yang amat mendalam. Beliau sentiasa mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Pandu Puteri. Pada tahun 1952 beliau lulus kelas dua. Pada tahun 1953 beliau telah dipilih untuk mengikuti perkhemahan di Castle Camp dan Lulus Kelas Satu dalam acara Renang. Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan menyebabkan beliau diberi tanggunjawab untuk mengetuai Pasukan KL 14 GG. Pada tahun 1955 beliau bersama-sama dengan Pasukan kadet K.L 1 telah mengambil inisiatif membersih kawasan padang bangunan Pondok Pandu Puteri yang pertama di Brickfield. Pada tahun ini juga beliau turut mengambil bahagian dalam perasmian ‘The Guide Hut ‘ yang dirasmikan oleh DYMM Tengku Ampuan Selangor, iaitu Tengku Jamiah. Beliau turut mengambil bahagian dalam Perkhemahan Seminggu di Lake Garden pada tahun 1956 yang diadakan di perkarangan rumah Miss A. Wilson (seorang guru) untuk Pasukan Kadet. Pemimpin Kadet – Maru dari New Zealand. Pada tahun 1956 –1958 beliau telah menyertaii Pasukan Renjer Sekolah Sultanah Asma, Alor Star di bawah pimpinan Che Chik Ismail.

Sewaktu menuntut di Brimsford Lodge beliau telah menyertai Pasukan Kadet Kolej tersebut dan dilatih untuk menjadi pemimpin oleh Miss M.C. Moris, Pada July 1959 beliau telah dipilih sebagai wakil dari Malaysia untuk mengikuti kursus Summer Camp For Young Leades di pusat latihan dunia “Chalet” di Aidelboder, Switzerland. Pada Julai 1960, beliau telah diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia ke World Jamborei 50 Tahun Pandu Puteri bagi U.K di Ceshley Abbey, Northhampton selama seminggu. Beliau juga telah lulus Compas First Aid dan Camp Permit dalam Ujian ‘Camping and Quarter Master” di Cannock Chase yang diadakan pada September 1960. Pada tahun ini juga beliau telah mengikuti latihan “advance Training For Young Leaders” di Princess Mary House Foxlease, England.

Setelah kembali ke tanah air dan bergelar pendidik, beliau telah meneruskan penglibatannya dalam Persatuan Pandu Puteri pada 1 Februari 1962 dengan memegang jawatan sebagai Kapten di SM Kamil, Pasir Puteh, Kelantan. Pada 1 Mei 1975 beliau telah diberi tanggung jawab sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Selangor dan pada 21 Mei 1985 beliau telah di lantik sebagai Pesuruhjaya Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Kesibukan beliau sebagai pendidik tidak pernah menjadi penghalang untuk beliau menabur bakti dalam Persatuan Pandu Puteri. Sepanjang penglibatan beliau dalam persatuan ini pelbagai khidmat dan jasa bakti beliau, antaranya beliau pernah memegang tugas sebagai Pengurus Asrama Pandu Puteri (1985). Beliau juga diberi amanah sebagai Pengerusi Kutipan Derma Bangunan (1987 –1997), Pengerusi Projek Bangunan Baru (1994 – 1996). Beliau memulakan program Pemimpin Muda (1) pada tahun (1997), melaksanakan Program Kesihatan (1) Senamrobik (1993), menjayakan Projek Peace Pack Sedunia (1994 –1996). Pada tahun 2001 beliau telah menggerakkan Projek Kesihatan dan Kreativiti (2).

Atas jasa-jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan penglibatan aktif beliau dalam Persatuan Pandu Puteri, beliau telah dianugerahkan dengan pelbagai pingat, antaranya Pingat Jasa (1989), Pingat Lebah (1993), Pingat Laying-layang (1999), Pingat Lapan Puluh Tahun Pandu Puteri (1997) dan Anugerah Ketua Pesuruhjaya (2001).

Berdasarkan rentetan perjalanan hidup dan penglibatan aktif serta sumbangan beliau dalam Persatuan Pandu Puteri yang melebihi setengah dekad adalah amat wajar ANUGERAH SRI KANDI Pandu Puteri 2004 dianugerahkan kepada Puan Hasnah Saad.


Puan Beh Suat Pheng ( Khoo Suat Pheng )

Puan Beh Suat Pheng mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebagai Keptan sekolah pada tahun 1959. Beliau juga menerima Anugerah Pandu Puteri Raja daripada Ketua Pandu Puteri Sedunia, Lady Baden Powell pada tahun 1960 semasa Lady Baden Power melawat Malaysia. Suat Pheng adalah ahli yang aktif dan berminat serta sangat popular dan menjadi ketua yang berwibawa dalam Patrol Matahari di Pasukan Pandu Puteri ke 12, Kuala Lumpur.

Puan Beh pernah mengambil bahagian yang aktif dalam pelbagai perkhemahan, rally dan program-program Pandu Puteri baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan.Beliau juga adalah salah seorang peserta dalam rombongan Malaysia ke Kem Antarabangsa di Australia pada tahun 1958.

Walaupun beliau tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti, namun beliau telah berjaya dalam kerjayanya. Beliau bermula sebagai setiausaha di EMI Recording Company dan secara beransur-ansur telah meningkat ke jawatan Timbalan Pengarah Kanan di EMI Music, Asia Tenggara . Beliau seorang yang menghargai komitmen , inisiatif dan kemahiran pengurusan dalam pentadbiran beliau. Beliau telah menjadi Pengarah Pengurusan selama 17 tahun dan Timbalan Pengarah Kanan Syarikat EMI Music, Asia Tenggara selama 4 tahun. Beliau adalah pengasas dan Timbalan Pengarah Music Authors Copywrite Protection,Recording Industry of Malaysia dan Public Performance Malaysia.

Pada umur 31, beliau telah menjadi ibu tunggal. Namun beliau dapat mendidik ketiga-tiga anak perempuannya sehingga ke peringkat universiti. Beliau kini seorang nenek kepada 4 orang cucu.

Selepas berjaya dalam kariernya, beliau sekali lagi melibatkan diri dalam Pandu Puteri. Beliau berkhidmat dalam EXCO dan Bendahari Kehormat selama 3 tahun di Persatuan Pandu Puteri Negeri Selangor. Kemudian beliau dilantik sebagai Bendahari Kehormat dalam Persatuan Pandu Puteri Wilayah Persekutuan sehingga kini.

Puan Beh Suat Pheng telah banyak menolong persatuan dalam pentadbiran kewangan di perinkat negeri dan telah menjalannkan beberapa projek untuk menambah tabung persatuan. Suat Pheng telah meluangkan masa dan khidmat beliau tanpa mengira penat lelah dalam mempromosikan Persatuan Pandu Puteri sebagai pergerakkan unggul untuk gadis remaja.

Beliau adalah pandu puteri yang boleh menjadi “role model” untuk wanita. Beliau bukan sahaja berjaya dalam kerjayanya bahkan telah memberi khidmat sukarelanya kepada Persatuan Pandu Puteri.

Puan Beh Suat Pheng telah dianugerahkan pingat PJK oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1978 dan Pingat Bintang Kehormat pada tahun1992 oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Di samping itu beliau juga adalah ahli Soroptormist Kuala Lumpur,iaitu satu persatuan wanita professional yang melibatkan diri dalam projek-projek kemasyarakatan.

Anugerah Srikandi 2002

Biodata Penerima Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2002

Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah SPMJ, SPCM

Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofia diputrikan pada 14 Ogos 1959 di Perak. Yang Amat Mulia adalah anakanda ketujuh dan puteri ketiga kepada Almarhum Sultan Idris Shah, Sultan Perak.

Yang Amat Mulia menerima pendidikan kindergarten dan pendidikan rendah di Perak. Semasa berusia 13 tahun Yang Amat Mulia berangkat ke England untuk melanjutkan pelajaran di Cheltenhem Ladies’ College, Gloucestershire. Yang Amat Mulia kemudiannya meneruskan pendidikan di Davies’ College. Pada tahun 1978 Yang Amat Mulia telah menduduki peperiksaan “Oxbridge Entrance Examination.” Yang Amat Mulia telah diterima masuk ke Somerville College, Oxford University pada tahun 1979 dan memulakan hidup sebagai seorang siswi hingga lulus dengan ijazah B.A (Hons) dalam Chinese Studies pada 1983.

Minat mendalam Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah dalam bidang bahasa tiada batasan. Tidak hairanlah selain fasih dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, Yang Amat Mulia juga boleh berbahasa Perancis dan Itali.

Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah amat berbakat dalam bidang lukisan dan penulisan iaitu suatu aset yang diwarisi daripada Almarhum ayahandanya. Pada tahun 1995 Yang Amat Mulia telah mengarang dan mengilustrasi empat buah buku dalam Bahasa Malaysia. Pada tahun yang sama, sempena Majlis Anugerah Buku Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Yang Amat Mulia telah dianugerah “Ilustrator Terbaik” bagi kategori buku kanak-kanak. Kini, Yang Amat Mulia terus menulis di ruang akhbar The New Straits Times Malaysia, setiap dua minggu di bawah tajuk “On Common Ground”.

Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah berkahwin dengan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor pada bulan September 1983 dan dikurniakan dengan lima orang putera dan seorang puteri. Dalam kesibukan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri Yang Amat Mulia Tunku Mahkota dan ibu kepada enam putera dan puteri, Yang Amat Mulia Raja Zarith amat aktif dan sentiasa sedia mencurah tenaga dan masa dalam pertubuhan – pertubuhan sukarela. Yang Amat Mulia adalah Penaung kepada Yayasan Kelab Rotary Tebrau, Johor Bahru, Naib Presiden Majlis Wanita Johor(MAWAR), dan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor.


 

Dato’ Asiah Bt. Abu Samah

Dato’ Asiah dilahirkan pada 1 Mac 1937 di Parit, Perak. Beliau menerima ijazah B.A. Hons. Diploma Pendidikan pada tahun 1961 dari Universiti Malaya Singapore, Diploma In General Linguistics dari School of Oriental & African Studies University of London pada tahun 1965 dan Sarjana Pendidikan dari University Malaya Kuala Lumpur pada tahun 1978.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1961, kemudian sebagai seorang pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur pada tahun 1964 dan pada tahun 1996 dilantik sebagai Pengetua Kolej Tunku Kursiah, Seremban. Pada tahun 1970, Dato’ Asiah mula bertugas di Kementerian Pendidikan sebagai Timbalan Pengarah Latihan Guru dan pada tahum 1973 sebagai Ketua Pegawai Penilai di Bahagian Perancangan dan Penyelididikan Pendidikan. Pada tahun 1974 apabila Kementerian Pendidikan menubuhkan Pusat Perkembangan Kurikulum(PPK) beliau dilantik menjadi pengarahnya yang pertama. Setelah bertugas selama 14 tahun di PPK beliau ditukarkan semula ke Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan sebagai pengarah. Pada Januari 1990 Dato’ Aisiah dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah II dan pada Disember tahun yang sama dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah I. Kemuncak kerjaya beliau ialah apabila dipertanggungjawabkan memegang teraju perkhidmatan pendidikan negara sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada 27 November 1991 sehingga beliau bersara pada 28 Februari 1993.

Sepanjang perkhidmatan Dato Asiah dalam dunia pendidikan terlalu banyak sumbangan yang amat berharga dicurahkannya terutama dalam perkembangan kurikulum dan perancangan pendidikan khusus yang berkaitan dengan dasar pendidikan dan pembangunan negara. Beliau banyak menyumbang idea di persidangan-persidangan kebangsaan dan antarabangsa melalui kertas-kertas kerja dan penulisan. Penglibatan beliau dalam perkembangan Bahasa Malaysia amat terserlah sejak awal tahun 60an dan bersama dua orang rakan telah menghasilkan siri buku “Kursus Bahasa Kebangsaan”(1961) yang diguna sebagai buku teks Tingkatan 1 hingga Tingkatan V.

Kini setelah bersara Dato’ Asiah masih memikul pelbagai tanggungjawab antaranya Penasihat Korporat Land & General Bhd; Ahli Lembaga Pengarah Lang Education Sdn. Bhd. Dan L&G Twintech Sdn. Bhd.; Ahli Malaysia Strategic Research Council; Distinguished Isis Fellow Institute of Strategic and International Studies, Malaysia.


 

Puan Saroja S. Param

Puan Saroja S.Param telah dilahirkan di India pada 20 Jun 1925. Beliau telah berhijrah ke Malaya mengikut keluarga dan mula mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Anglo Chinese Seremban dan pendidikan menengah di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus Seremban. Beliau memilih kerjaya sebagai seorang pendidik dengan mendapat kelulusan Latihan Normal. Beliau mula berkhidmat di Government English School, Port Dickson pada tahun 1946.

Puan Saroja Param mendirikan rumahtangga dengan Encik V.S. Param, yang juga seorang pendidik dan telah dikurniakan dengan enam orang cahaya mata. Berkat kegigihan dan ketekunannya mendidik di sekolah dan di rumah, anak-anak beliau berjaya ke pendidikan tinggi. Kini, anak-anaknya menjadi pensyarah, hakim, pegawai perubatan dan peguam.

Sebagai seorang yang berdedikasi dalam kerjayanya, beliau telah menjawat jawatan Penyelia Sekolah dan pada tahun 1980, beliau bersara ketika bertugas di Sekolah Menengah Sri Ampangan, Seremban.

Puan Saroja Param bergiat cergas dalam bidang kokurikulum, khasnya dalam Persatuan Pandu Puteri. Beliau dilantik sebagai Pemimpin dan seterusnya dari tahun 1973 hingga 1983, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Selain itu, beliau juga telah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Kebangsaan Kadet dan Kelab Renjer Puteri Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Beliau adalah pengasas Kelab Renjer Malaysia dan Sahabat Sangam, Malaysia.

Puan Param telah berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa di Sangam (World Centre of WAGGGS) di Pune, India selama sembilan tahun. Ini melibatkan penyertaan beliau dalam beberapa persidangan dan latihan di negara-negara Eropah, United Kingdom, Amerika, Kanada dan Asia.

Beliau berpengalaman menganjurkan seminar, ralli, jambori dan persidangan di peringkat negeri, kebangsaan dan rantau Asia Pasifik. Di bidang kegiatan masyarakat, beliau turut aktif dalam kegiatan belia, Perkumpulan Wanita dan kerja-kerja amal kebajikan.

Di bidang politik, beliau menyandang jawatan Ketua Bahagian Wanita MIC Negeri Sembilan dari 1981 hingga 1987. Beliau pernah dianugerahkan bintang dan pingat PPT, AMN, PJK, PKL dan JP dari kerajaan Persekutuan dan Negeri. Sementara anugerah yang telah diterima dari Persatuan Pandu Puteri Malaysia ialah Pingat Jasa, Pingat Khidmat Lama dan Pingat Layang-Layang.

Pada masa ini Puan Saroja Param masih aktif dalam kegiatan-kegiatan sosial, kerja-kerja amal melalui kumpulan Sahabat Sangam, Sangam Malaysia dan Persatuan Bekas Murid Convent Seremban di mana beliau adalah Presiden kedua-dua pertubuhan tersebut.

Puan Param mementingkan keharmonian institusi keluarga dan beliau bersyukur kerana mendapat kasih sayang daripada enam orang anak-anak yang sentiasa memberi inspirasi dalam membina satu landasan teguh untuk membolehkan beliau bergerak lebih cergas dalam semua bidang yang diceburi demi kepentingan dan kesejahteraan keluarga, bangsa dan negara yang dicintai.

(Siapakah bakal penerima Anugerah Srikandi Pandu Puteri Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada tahun 2004...? Kita nantikan kemunculannya.)

 

Anugerah Srikandi 2000

Biodata Penerima Anugerah Sri Kandi Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2000

YB Datin Paduka Hajah Zaleha Bt Ismail, DPMS, SMS, KMN

YB Datin Paduka Hajah Zaleha adalah anak kelahiran Kuala Langat, Selangor. Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Pelek dan mengakhirinya di Universiti Malaya pada tahun 1961.

Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian, beliau memulakan kerjaya bersama Radio Malaya (1962-1968) sebagai Pembantu Rancangan dan seterusnya meningkat kepada Pengelola Rancangan Perkhidmatan Inggeris. Pada masa yang sama bertugas sebagai Pensyarah dan Tutor sambilan di Universiti Malaya. Pada tahun 1968 hingga tahun 1978 beliau bertukar ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Ensaiklopedia dan kemudian dinaikkan pangkat kepada Timbalan Ketua Bahagian Buku Pelajaran.

YB Datin Paduka Hajah Zaleha mula melibatkan diri dalam politik pada tahun 1968 sebagai ahli biasa UMNO hingga ke tahap ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Wanita yang dinamik dan optimis ini berpegang teguh kepada prinsip “Nothing is possible” mempunyai cita-cita yang luhur iaitu menjadi seorang yang baik dan memberi khidmat serta sumbangan yang sebanyak-banyaknya sepanjang umur yang masih ada. Beliau sanggup bekerja bertungkus lumus dalam segala perkara yang diperjuangkan tanpa jemu, tidak pernah mengata “tidak” kepada setiap insan yang memohon pertolongan dan sentiasa berusaha untuk menyumbangkan masa, tenaga dan buah fikirannya kepada masyarakat.

Walaupun sibuk dengan sibuk dengan tugas sebagai Menteri, Datin Paduka terus melibatkan diri dalam hampir 42 persatuan sukarela untuk memajukan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat khasnya belia dan kaum wanita.

Atas segala baktinya, Datin Paduka telah dianugerahkan Bintang Seri Mahkota Selangor, Bintang Kasatria Mangku Negara dan Datuk Paduka Mahkota Selangor pada tahun 1979.

Dalam kesibukan bekerja beliau berjaya mendidik tiga orang anaknya sehingga lahir seorang doktor, seorang penolong pengurus dan seorang ahli perniagaan yang berjaya.


 

Dato’ Hajah Hendon Bt. Haji Din DPMS, JSM, AMN, PJK

Dato’ Hajah Hendon dilahirkan di Parit Buntar pada 24 Mac 1925. Kerjaya beliau bermula sebagai seorang guru, kemudian sebagai Guru Besar dan akhirnya Penyelia Sekolah-Sekolah Peremnpuan Melayu di Negeri Sembilan.

Selepas meninggalkan profesion perguruan, Dato’ Hajah Hendon menceburi bidang perniagaan. Prinsip “You must have your own confidence, never accept defeat until you succed. Money is not everything but it is an important thing” menjadikan beliau usahawan yang gigih sehingg berjaya menjadi Pengerusi Eksekutif Syarikat Zet Enterprise dan 21 buah anak syarikat lain.

Dalam bidang Pandu Puteri, Dato’ Hajah Hendon mula menceburkan diri sebagai ahli Pandu Puteri sejak berumur 13 tahun sehinggalah beliau dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Malaysia pada tahun 1973 hingga 1983. Ketokohan beliau dalam Pandu Puteri terserlah apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Asia Pasifik dan diterima oleh Persatuan Pandu Puteri Sedunia (WAGGGS) menjadi ahli Olave Baden Powell Sociaty (OBPS). Pada tahun 2000, WAGGGS telah menganugerahkan Dato’ Hajah Hendon Woman with Outstanding Achiements Award.

Dato’ Hajah Hendon banyak menyumbangkan masa, tenaga dan wang dalam pelbagai kerja amal. Perjuangan beliau dalam membentuk anak-anak gadis dan wanita yang berguna kepada bangsa dan negara tidak dapat disukat. Beliau telah dilantik ke Panel Juvenile Court dan sebagai ahli Senate selama empat tahun oleh Universiti Malaya.

Di samping kesemua tanggungjawab sosial yang dipikul, beliau adalah ibu yang pengasih, adil dan tegas kepada 13 orang anak. Anak-anak beliau berjaya dalam profesion masing-masing sebagai jurutera, hakim, arkitek, pensyarah, pakar runding, tokoh jururawat dan setiausaha syarikat.

Dato’ Hajah Hendon telah dianugerahkan Pingat Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh D.Y.M.M. Sultan Perak, Pingat Jasa Kebaktian dari Kerajaan Negeri Sembilan, Pingat A.M.N dan J.S.M oleh Kerajaan Malaysia. Sebagai penghargaan di atas sumbangan beliau dalam dunia pendidikan beliau dipilih sebagai Tokoh Guru Negeri Sembilan dan Tokoh JasaMu Dikenang Wilayah Persekutuan.


 

Puan Junie Simon, AMN

Puan Junie Simon dilahirkan pada tahun 1934 di Kuala Lumpur. Beliau telah memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada tahun 1952 di Sekolah Menengah Bukit Bintang sehingga bersara pada tahun 1989 di sekolah yang sama.

Jikalau bidang perguruan menjadi profesion yang dilalui selama 37 tahun dengan gigih, Pandu Puteri pula menjadi saluran baginya mencurahkan masa dan tenaga sukarela tanpa jemu. Bermula sebagai pemimpin Pandu Puteri dengan pangkat Leftenan pada tahun 1955, beliau seterusnya dinaikkan kepada pangkat Kapten (1956), Pesuruhjaya Daerah Petaling (1960), Ketua Unit Renjer Puteri 1 Zon Pudu (1960), Penolong Pesuruhjaya Negeri Selangor (1963) dan Pesuruhjaya Negeri Wilayah Persekutuan bermula tahun 1988 hingga sekarang.

Sebagai seorang pemimpin, Puan Junie telah menunjukkan khidmat yang tulus dan sedia bekerja tanpa mengira masa dan tenaga. Beliau telah menggunakan ilmu dan kepakaran yang diperolehi daripada seminar dan bengkel yang dihadirnya sama ada di dalam mahupun di luar negara untuk diperturunkan kepada pemimpin dan ahli-ahli Persatuan Pandu Puteri di negerinya dan juga diperingkat kebangsaan melalui perkhemahan, projek Khidmat, perhimpunan, seminar dan latihan.

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai guru, ketua pemimpin dan ahli Exco dalam Kor Wanita Kota beliau telah berjaya mendidik anak tunggalnya hingga berjaya menjadi seorang peguam.

Di atas segala jasa bakti yang dicurahkan, Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah menganugerahkan Pingat Tangkai Padi, Pingat Jasa, Agok Bakti Lebah dan anugerah yang tertinggi iaitu Pingat Layang-Layang. Beliau juga merupakan penerima Anugerah 80 tahun Pandu Puteri. Pada tahun 1978, beliau telah dianugerahkan Pingat A.M.N.

 

Anda di sini: Home