Persatuan Pandu Puteri Malaysia

Persatuan Pandu Puteri Malaysia
Girl Guides Association Malaysia

Bahagian

PANDU PUTERI DEWASA

  1. Individu dewasa yang pernah mengikuti Program Pandu Puteri Kadet atau Program Pandu Puteri Siswi. Individu ini boleh mengendalikan Pasukan Pandu Puteri Tunas, Pasukan Pandu Puteri Remaja, Pasukan Pandu Puteri Renjer, Pasukan Pandu Puteri Kadet atau Pasukan Pandu Puteri Siswi yang ditugaskan tanpa menghadiri Kursus Pemimpin Baru. Pemakaian lencana Pandu Puteri Kadet / Pandu Puteri Siswi ditukar dengan lencana pelantikan pemimpin.
  2. Individu dewasa yang tidak pernah mengikuti Program Pandu Puteri Kadet atau Program Pandu Puteri Siswi tetapi berminat atau dilantik sebagai penasihat oleh pihak tertentu untuk mengendalikan Pasukan Pandu Puteri Tunas, Pasukan Pandu Puteri Remaja, Pasukan Pandu Puteri Renjer, Pasukan Pandu Puteri Kadet atau Pasukan Pandu Puteri Siswi.
    Syarat kelayakan: Perlu hadir Kursus Pemimpin Baru dan dilantik sebagai Pemimpin Tidak Berwaran oleh Pesuruhjaya Daerah atau Ketua Pesuruhjaya Cawangan.


Pemimpin Berwaran digalakkan mengikuti Kursus Lanjutan supaya lulus Kelas Satu dan boleh menguji Pandu Puteri Remaja atau Pandu Puteri Renjer Kelas Satu sehingga ke peringkat Pandu Puteri Raja.

Pesuruhjaya ialah Pemimpin Berwaran yang mentadbir, mengurus dan mengelolakan aktiviti Pandu Puteri di peringkat Kebangsaan, Cawangan dan Daerah.

Seseorang Pemimpin Berwaran boleh dipilih dan dilantik sebagai Pesuruhjaya untuk jawatan tertentu oleh Pesuruhjaya Daerah, Ketua Pesuruhjaya Cawangan, atau Ketua Pesuruhjaya Malaysia. Pelantikan ini hendaklah disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Malaysia.

KURSUS PEMIMPIN BARU
Kursus Pemimpin Baru membolehkan Pemimpin:

  1. Menghayati dan mengamalkan Dasar Pertubuhan dan Undang-Undang, Persetiaan, Undang-Undang Pandu Puteri, Cogan Kata, Isyarat, Hormat, Berjabat Tangan, Lambang, Panji-Panji dan Khidmat.
  2. Mengetahui sejarah Pandu Puteri di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
  3. Mengenal pasti cara mematikan hujung tali serta membuat dan menggunakan simpulan dan ikatan seperti yang berikut:
    • lilit manuk
    • simpul bungkusan
    • buku sila
    • lilit balak
    • bunga geti
    • tambat seraya
    • tambat serong
    • tambat kacang
    • lilit dua simpul
    • tambat pemukat
    • tambat silang gunting
  4. Mengetahui cara menaikkan dan menurunkan panji-panji, menggunakan isyarat wisel serta isyarat tangan.
  5. Mengendalikan istiadat Pandu Puteri termasuk Istiadat Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja dan Pandu Puteri Renjer.
  6. Memahami makna dan boleh menggunakan tanda-tanda mengesan
  7. Menghayati dan boleh menyanyikan Lagu Kebangsaan, Lagu Negeri serta lagu-lagu Pandu Puteri seperti Lagu Dunia, Taps dan Lagu Rantau Asia Pasifik
  8. Menyalakan api dengan dua batang mancis untuk menjerang air atau memasak.
  9. Berjalan kaki sejauh tujuh (7) kilo meter sambil mengkaji 12 jenis benda hidup (enam haiwan dan enam tumbuh-tumbuhan) dan menyediakan Buku Skrap yang berkaitan.
  10. Menghayati konsep kekeluargaan dan perkembangan emosi, intelek, sosial dan fizikal remaja.
  11. Berkhemah sekurang-kurangnya satu hujung minggu.

KURSUS PRA WARAN

Kursus Pra Waran membolehkan Pemimpin mengurus dan mengendalikan Perjumpaan Pasukan Pandu Puteri di setiap peringkat.

Kursus Pra Waran terdiri daripada tiga bahagian:

  • Perancangan,
  • Pengurusan Pasukan,
  • Pertolongan Cemas.

Setelah menghadiri Kursus Pra Waran, Pemimpin berupaya:

  • Mendampingi satu Pasukan Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja, Pandu Puteri Renjer, Pandu Puteri Kadet, Pandu Puteri Siswi atau Pandu Puteri Dewasa sekurang-kurangnya satu bulan.
  • Merancang program perjumpaan mingguan untuk selama tiga bulan.
  • Mengendalikan Pasukan Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja, Pandu Puteri Renjer, Pandu Puteri Kadet, Pandu Puteri Siswi atau Pandu Puteri Dewasa sendiri, tidak kurang daripada tiga bulan dan menghantar permohonan untuk penyeliaan oleh Pesuruhjaya Daerah.
  • Melengkapkan satu kotak Pertolongan Cemas persendirian dan mengetahui penggunaan bahan-bahan yang ada di dalamnya.
  • Mengetahui cara-cara mengambil suhu badan dan denyutan nadi untuk tindakan dan rawatan selanjutnya.
  • Memberi pertolongan cemas dan bertindak apabila menghadapi keadaan tertentu seperti:
    - luka
    - terseliuh
    " muntah-muntah
    " terbakar
    " melecur
    " perut masuk angin
    " sengatan serangga
    " sawan
    " tidak sedar diri.

KURSUS LANJUTAN

Kursus Lanjutan membolehkan Pemimpin:

  1. Merancang dan mengelolakan projek khidmat untuk Pasukan Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja, Pandu Puteri Renjer, Pandu Puteri Kadet, Pandu Puteri Siswi atau Pandu Puteri Dewasa
  2. Merancang pengembaraan (pioneering) dan menyediakan gejet berkaitan.
  3. Memahami Skim Berdikari dalam Program Pandu Puteri Renjer untuk pemupukan sistem nilai hidup ahli-ahli yang dipimpinnya.
  4. Merancang dan mengendalikan aktiviti dan ujian Program Pandu Puteri sehingga Kelas Satu.
  5. Merancang dan mengendalikan aktiviti dan ujian Skim Lencana Kecekapan.
  6. Menyediakan diri untuk layak mengambil Ujian Mutiara II dan Mutiara III.

PERKHEMAHAN

Perkhemahan Pandu Puteri dikendalikan oleh Pemimpin Berwaran yang mempunyai kelayakan perkhemahan. Pemimpin Berwaran yang sedang berusaha memperoleh kelayakan perkhemahan boleh membawa ahli-ahlinya berkhemah dengan bantuan Jurulatih atau pemegang Lesen Perkhemahan. Kelayakan Perkhemahan adalah seperti yang berikut:

I. Permit Perkhemahan

Permit Perkhemahan membolehkan Pemimpin berkhemah bersama-sama ahlinya dalam satu kumpulan kecil. Had laku permit ini ialah dua tahun sahaja.

  • Pemimpin boleh mendapatkan Permit Perkhemahan dengan mengadakan satu perkhemahan ujian selama tiga hari dua malam, yang disertai oleh tidak melebihi daripada 18 orang ahli Pandu Puteri Remaja atau Pandu Puteri Renjer.
  • Perkhemahan Ujian ini hendaklah diselia oleh seorang Jurulatih atau seorang pemegang Lesen Perkhemahan.

II. Lesen Perkhemahan

Lesen Perkhemahan membolehkan Pemimpin mengadakan perkhemahan untuk ahli Pandu Puteri Remaja atau Pandu Puteri Renjer yang dipimpinnya, serta membawa mereka menghadiri perkhemahan peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

  • Pemimpin boleh mendapatkan Lesen Perkhemahan dengan mengadakan Perkhemahan Ujian selama tiga hari dua malam, yang dihadiri oleh 36 orang ahli Pandu Puteri Remaja atau Pandu Puteri Renjer.
  • Perkhemahan Ujian ini hendaklah diselia oleh seorang Jurulatih.

 

SYARAT MENDAPATKAN WARAN PEMIMPIN

Untuk dianugerahkan Waran Pemimpin, seseorang Pemimpin:

  1. Telah membaca sekurang-kurangnya dua buah buku Pandu Puteri untuk menghayati pergerakan Pandu Puteri.
  2. Telah menghadiri Kursus Pra Waran dan memahami prinsip Pandu Puteri untuk mengendalikan Pasukan.
  3. Mengetahui cara mengendalikan Mesyuarat Pow-Wow, Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Pandu Puteri Renjer.
  4. Mengetahui dan boleh menjalankan Permainan Pandu Puteri dalam Program Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja, Pandu Puteri Renjer, Pandu Puteri Kadet, Pandu Puteri Siswi atau Pandu Puteri Dewasa, khasnya, Permainan Kim dan Permainan Luas.
  5. Menyimpan rekod Pasukan seperti:
    6.5.1 Sijil Pendaftaran Pasukan
    6.5.2 Buku Kedatangan Ahli
    6.5.3 Buku Stok
    6.5.4 Buku Akaun
    6.5.5 Buku Aktiviti
    6.5.6 Buku Rekod Kemajuan Ahli
    6.5.7 Buku Program/Perancangan
    6.5.8 Buku log Pasukan
    6.5.9 Buku Minit Mesyuarat Pasukan
    6.5.10 Fail penyertaan latihan/kursus yang dihadiri di peringkat Sekolah, Daerah, Negeri atau Kebangsaan
    6.5.11 Fail surat menyurat
    6.5.12 Fail Mesyuarat Daerah
  6. Menyimpan Buku Log Peribadi sendiri
  7. Mengendalikan Perjumpaan Mingguan dan menjalankan Istiadat Pelantikan Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja, Pandu Puteri Renjer, Pandu Puteri Kadet, Pandu Puteri Siswi atau Pandu Puteri Dewasa, diselia oleh Pesuruhjaya Daerah.
  8. Telah diselia oleh Pesuruhjaya Daerah setelah beliau menerima permohonan yang berkenaan.
  9. Telah menghadiri Mesyuarat Pemimpin Peringkat Daerah sekurang-kurangnya sekali

WARAN

  1. Waran ialah tanda pengesahan pelantikan kepada sesuatu jawatan dalam Pandu Puteri.
  2. Waran diberikan kepada seseorang Pemimpin setelah ia
    • mengikuti Kursus Pra-Waran
    • menjalankan tugas sebagai Pemimpin Pasukan sekurang-kurangnya selama tiga bulan
    • diselia oleh Pesuruhjaya Daerah
  3. Waran yang dikeluarkan untuk sesuatu jawatan khusus tidak boleh ditukar kepada jawatan lain.
  4. Apabila tamat tempoh pelantikan sesuatu jawatan, waran berkenaan tidak perlu dikembalikan ke Ibu Pejabat Kebangsaan.
  5. Pesuruhjaya Daerah bertanggungjawab menghubungi pihak sekolah atau institusi dan mendapatkan nama Pemimpin yang ditugaskan memimpin Pasukan. Ini adalah untuk memastikan kategori Pemimpin berkenaan. Seterusnya Pesuruhjaya Daerah perlu mengambil tindakan dengan melantik atau membuat permohonan mengeluarkan waran.
  6. Permohonan untuk Waran baru akan dihantarkan kepada Ketua Pesuruhjaya Cawangan bagi pelantikan baru setelah Pesuruhjaya Daerah berpuas hati bahawa semua syarat pelantikan telah dipenuhi.
  7. Waran ialah milik Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Persatuan berhak menarik balik atau membatalkan waran tanpa memberi alasan.
  8. Seorang Pemimpin Berwaran yang telah ditukarkan sekolah atau tempat kerja, tidak perlu mengembalikan waran tersebut tetapi perlu memohon waran baru semula daripada Pesuruhjaya Daerah.

 

SKIM MUTIARA

Skim Mutiara disediakan sebagai galakan kepada Pemimpin Berwaran yang berpotensi dan berminat mencorakkan masa depannya dalam Persatuan Pandu Puteri.

Mutiara I

Pemimpin Berwaran boleh memperoleh Mutiara I setelah ia menunjukkan bukti bahawa ia:

  • Mempunyai Waran Pemimpin dan mengendalikan Pasukan sendiri tidak kurang daripada enam bulan;
  • Mengetahui cara-cara menggunakan peta serta kompas; dan,
  • Telah mengambil bahagian dalam acara Perkhemahan Pandu Puteri sebagai Pegawai atau Penolong Pegawai Perkhemahan dan boleh menggunakan pengetahuan kraf kem, terutama kraf kayu.

Mutiara II

Pemimpin Berwaran boleh memperoleh Mutiara II setelah ia menunjukkan bukti bahawa ia melayakkan diri sebagai:

  • Pemegang Sijil Juru Pertolongan Cemas;
  • Pemegang Sijil Jurumasak; dan
  • Pemegang Lesen Perkhemahan dan sedang berusaha sebagai Bakal Jurulatih
  • Ahli yang aktif dalam sesebuah Jawatankuasa peringkat Daerah, atau Cawangan, atau Kebangsaan.
  • Telah menghadiri sekurang-kurangnya satu acara Pandu Puteri seperti kursus, latihan, perkhemahan, seminar atau persidangan peringkat Daerah atau Cawangan.

Mutiara III

Pemimpin Berwaran boleh memperoleh Mutiara III setelah ia menunjukkan bukti bahawa ia:

  • Pemegang Sijil Jurulatih;
  • Telah melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya satu acara Pandu Puteri peringkat kebangsaan, seperti kursus, latihan, perkhemahan, seminar atau persidangan.
  • Telah menyertai sekurang-kurangnya satu acara Pandu Puteri peringkat antarabangsa, seperti kursus, latihan, perkhemahan, seminar atau persidangan;
  • Memegang jawatan penting, umpamanya Pesuruhjaya, dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia peringkat Daerah atau Cawangan atau Kebangsaan
  • Telah mengambil bahagian dalam sesuatu skim kelayakan atau telah menerima anugerah anjuran Jawatankuasa Rantau Asia Pasifik atau WAGGGS yang berkuat kuasa dalam tempoh masa tertentu.

Pakaian Pandu Puteri Dewasa:

  • Kebaya / Kurung Biru (Rasmi)
  • Baju Kemeja Hijau dan Seluar Panjang Biru (Aktiviti Luar/ Perjalanan)
  • `Shoulder Flashes'
  • Penampang
  • Lencana Dunia
  • Lencana Pelantikan
  • Lencana Waran / Lencana Lain (cth:  Jurumasak, Juru Pertolongan Cemas, Lesen Perkhemahan/Jurulatih)
  • Tag Nama
  • Tudung Batik PPPM (untuk yang beragama Islam) dan Klip Tudung
  • Kasut bertutup hitam (tumit lebar - 1 1/2 " tinggi)
  • Tas tangan berwarna hitam
Untuk senarai kelengkapan pakaian, KLIK SINI

PANDU PUTERI SISWI

Bahagian Pandu Puteri Siswi menyediakan wanita remaja dan dewasa memimpin dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Ahli Pasukan Pandu Puteri terdiri daripada pelajar wanita dari Institusi Pendidikan tinggi (Universiti atau Kolej awam dan swasta). Perjumpaan diadakan satu kali seminggu.

PROGRAM PANDU PUTERI SISWI

Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) mempunyai tujuan mendidik, melatih dan mengembangkan potensi semua ahli supaya menjadi warga negara yang peka, berwibawa, berketerampilan dan berdisiplin. Harapan PPPM adalah untuk menghasilkan insan yang taat dan setia, berguna, cekap dan amanah, bertimbang rasa, mempunyai inisiatif, berdaya kreatif, dan selalu sedia memberi khidmat untuk membantu orang lain.

Untuk mencapai tujuan murni tersebut, pendidikan dan latihan yang akan disampaikan kepada Pandu Puteri Siswi mengutamakan sistem berkumpulan (Patrol System) yang menjadi ciri utama dalam pergerakan Pandu Puteri seluruh dunia. Falsafah Pergerakan Pandu Puteri berlandaskan tiga aspek utama, iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Melalui Program Pandu Puteri Siswi, Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertujuan menghasilkan barisan pemimpin bertauliah sebagai Pemimpin dan Pesuruhjaya untuk mengukuhkan lagi Pergerakan Pandu Puteri serta mendidik dan memimpin ahli Persatuan yang terdiri daripada wanita, remaja dan dewasa.

Program Pandu Puteri Siswi ialah program pendidikan bukan formal untuk wanita. Pelaksanaan program bukan formal ini mementingkan perkaedahan yang fleksibel, ceria dan aktif untuk memenuhi kehendak dan keperluan wanita Malaysia.

Program Pandu Puteri Siswi bertujuan untuk menghasilkan pelajar yang:

  • Menghayati dan mengamalkan ciri-ciri pemimpin muda, khasnya berasaskan Prinsip Asas Pandu Puteri dan Kaedah Pandu Puteri
    To internalise and practise the characteristics of young leaders, specifically based on the Girl Guiding Fundamental Principles and the Girl Guiding Method
  • Memahami dan mengamalkan konsep Ketua dan Pengikut
    Understanding and practising the concepts of Leadership and Followership
  • Berupaya meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai Pandu Puteri
    Empowered to develop and refine Girl Guiding knowledge, skills and values

Program ini dibahagikan kepada enam peringkat:

  • Asas Ilmu Pandu Puteri
  • Program Asas Pemimpin Muda: Prinsip Asas Kepimpinan
  • Program Lanjutan Pemimpin Muda: Membina kemahiran memimpin sesuai untuk suasana yang penuh perubahan
  • Sistem Sikap dan Nilai
  • Pengenalan kepada organisasi Pandu Puteri di peringkat Daerah untuk mengukuhkan semangat Pandu Puteri melalui penglibatan dalam aktiviti dan acara peringkat Cawangan, Kebangsaan dan Antarabangsa
  • Pengenalan kepada organisasi Pandu Puteri peringkat Cawangan dan Kebangsaan

Kaedah Pengajaran

  • Ceramah dan syarahan, khasnya untuk aspek Teori
  • Amali
  • E-Learning
  • Self-directed Learning
  • Kajian Kes

Penilaian setiap Peringkat

  • Ujian Bertulis (Penulisan, Laporan, Jawapan Kuiz, dsb)
  • Amali: Kemahiran yang dikuasai dan Kompetensi
  • Penglibatan & Semangat Kesukarelaan
  • Sahsiah: Kehadiran, Komunikasi dan Kepimpinan

 

Pasukan Pandu Puteri Siswi

Sebuah Pasukan dianggotai oleh sekurang-kurangnya 16 orang dan maksimum ialah 36 orang. Lebih daripada satu Pasukan boleh ditubuhkan di dalam sesebuah kampus.

Setiap Pasukan dipimpin oleh seorang Pemimpin Berwaran atau Jurulatih Bertauliah sebagai pembimbing dan dibantu oleh sekurang-kurangnya seorang Penolong Pemimpin.

Pasukan perlu melantik Jawatankuasa pasukan terdiri daripada

  • Pengerusi
  • Setiausaha Kehormat
  • Bendahari Kehormat
  • Ahli Jawatankuasa
  • Pengerusi Jawatankuasa Kecil:
    • Perhubungan Awam
    • Bahan Sumber
    • Peralatan
    • Sosial dan Lawatan
    • Kebajikan
    • Lain-lain yang diperlukan

Penyelaras IPT atau Pegawai Kokurikulum atau Pembimbing boleh dijemput sebagai Penasihat. Pengerusi adalah Ketua Pasukan Pandu Puteri Siswi

Pakaian Pandu Puteri Siswi

  • Kebaya / Kurung Biru
  • Skaf Berwarna Biru Muda
  • `Shoulder Flashes'
  • Woggle
  • Lencana Dunia
  • Lencana Pelantikan
  • Jata Universiti
  • Tudung Putih (untuk yang beragama Islam)
  • Stoking hitam
  • Kasut bertutup hitam (bertumit lebar - 1 1/2" tinggi)
Untuk senarai kelengkapan pakaian, KLIK SINI

Download Program Pandu Puteri Siswi [Silibus PP Siswi.pdf] dan [PP Siswi Composit Profile.pdf]

PANDU PUTERI KADET

Program Pandu Puteri Kadet bertujuan menghasilkan pemimpin muda yang memahami dan menguasai kemahiran asas Pandu Puteri serta konsep dan peranan kepemimpinan dalam pergerakan Pandu Puteri.


Pasukan Pandu Puteri Kadet bertapak di institusi-institusi pendidikan guru dan ditadbir oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Cawangan Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia. Terdapat 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah cawangan ini.

Bilangan ahli yang minimum dalam satu Pasukan Pandu Puteri Kadet ialah lapan (8) orang dan maksimum 50 orang. Sesebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) boleh mempunyai lebih daripada satu Pasukan Pandu Puteri Kadet.

Pasukan Pandu Puteri Kadet dikendalikan oleh Jawatankuasa Pasukan Pandu Puteri Kadet yang terdiri daripada:

  • Ketua Pasukan
  • Setiausaha
  • Bendahari
  • Ahli Jawatankuasa

Pasukan Pandu Puteri Kadet dipimpin oleh seorang Pemimpin Berwaran, Pesuruhjaya atau Jurulatih.

PAKAIAN PANDU PUTERI KADET

  1. Kebaya / Kurung Biru (rasmi)
  2. Skaf Berwarna Biru Muda
  3. `Shoulder Flashes'
  4. Woggle
  5. Lencana Dunia
  6. Lencana Pelantikan
  7. Tudung Putih (untuk yang beragama Islam)
  8. Kasut bertutup hitam (tumit lebar - 1 1/2" tinggi)
  9. Lencana nama
Untuk senarai kelengkapan pakaian, KLIK SINI

PANDU PUTERI RENJER



PENGENALAN
Pada tahun 1916, pasukan Kadet untuk Pandu Puteri yang telah melebihi umur ditubuhkan di England. Kemudian pada tahun 1920, Lady Baden-Powell mencadangkan pasukan ini diberi nama panggilan Renjer. Ketua Renjer Laut (Sea Ranger) yang pertama ialah Dame Katherine Furse. Empat tahun kemudiannya iaitu pada tahun 1924, pasukan Renjer yang pertama telah ditubuhkan di Pulau Pinang, Malaya.

AHLI PANDU PUTERI RENJER
Pandu Puteri Renjer terdiri daripada seorang gadis yang berumur antara 16 hingga 18 tahun. Seorang bakal Pandu Puteri Renjer yang pernah menjadi ahli Pandu Puteri Tunas atau Pandu Puteri Remaja dikehendaki mengikuti program Pra Pelantikan Pandu Puteri Renjer.

Seorang bakal Pandu Puteri Renjer yang tidak pernah menjadi ahli Pandu Puteri dikehendaki mengikuti program Pra Persetiaan Pandu Puteri dan Pra Pelantikan Pandu Puteri Renjer sebelum dilantik sebagai Pandu Puteri Renjer.

UNIT PANDU PUTERI RENJER
Jumlah minimum bilangan ahli ialah lapan (8) orang dan maksimum ialah 36 orang. Perjumpaan Pasukan Pandu Puteri Renjer sebaik-baiknya diadakan sekali seminggu. Setiap Pasukan Pandu Puteri Renjer melantik seorang Ketua Pasukan sebagai saluran perhubungan antara Pemimpin dengan semua Pandu Puteri Renjer dalam Pasukan Pandu Puteri Renjernya.

COGAN KATA
Sama seperti Pandu Puteri Remaja, Pandu Puteri Renjer juga mempunyai cogan kata yang berbunyi 'Selalu Sedia - Terus Berkhidmat'.

 

PERSETIAAN PANDU PUTERI RENJER

"Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia, dengan sedaya upaya, Menunaikan kewajipan saya kepada Tuhan, Raja dan Negara saya Malaysia,

Menolong orang setiap masa, dan,

Mematuhi Undang-Undang Pandu Puteri Renjer."

UNDANG-UNDANG PANDU PUTERI RENJER

  1. Pandu Puteri Renjer boleh dipercayai.
  2. Pandu Puteri Renjer sentiasa taat dan setia.
  3. Pandu Puteri Renjer suka menolong orang lain.
  4. Pandu Puteri Renjer bersahabat dengan semua orang dan Pandu Puteri Renjer yang lain.
  5. Pandu Puteri Renjer sentiasa bersopan santun.
  6. Pandu Puteri Renjer melindungi haiwan dan memelihara alam sekitar.
  7. Pandu Puteri Renjer sentiasa menurut perintah.
  8. Pandu Puteri Renjer sentiasa bersemangat dan bergembira walaupun dalam masa kesulitan.
  9. Pandu Puteri Renjer sentiasa berjimat cermat.
  10. Pandu Puteri Renjer suci dalam fikiran, perkataan dan perbuatan.

 

PAKAIAN PANDU PUTERI RENJER

  1. Baju kemeja hijau berlengan panjang
  2. Skaf berwarna biru tua
  3. Jata Negeri
  4. Woggle
  5. `Shoulder Flashes'
  6. Lencana Dunia
  7. Lencana Pelantikan Pandu Puteri Renjer
  8. Seluar panjang biru tua
  9. Stoking hitam
  10. Kasut hitam
  11. Tudung hitam

Untuk senarai kelengkapan pakaian, KLIK SINI

Pandu Puteri Remaja atau Pandu Puteri Renjer yang berminat untuk menjadi calon Anugerah Pandu Puteri Raja perlu menduduki ujian Cabaran Anugerah Ketua Pesuruhjaya (CAKP).

Pandu Puteri Remaja atau Pandu Puteri Renjer yang berminat menjadi calon CAKP hendaklah mengisi Borang Permohonan yang boleh didapati daripada Ketua Pesuruhjaya Cawangan masing-masing, atau terus dari Ibu Pejabat Kebangsaan. Borang Permohonan yang telah dilengkapkan hendaklah dihantar ke Ibu Pejabat Kebangsaan melalui Pemimpin, Pesuruhjaya dan Ketua Pesuruhjaya Cawangan masing-masing.


CABARAN ANUGERAH KETUA PESURUHJAYA
Rasional

  1. Satu galakan kepada ahli remaja untuk melayakkan diri menerima Anugerah Ketua Pesuruhjaya
  2. Satu penghargaan kepada ahli remaja yang berkualiti
  3. Satu usaha mengukuhkan iltizam dalam Pandu Puteri

Pra-Syarat

  1. Mempunyai Tali Perkelilingan
  2. Mempunyai Permit Perkhemahan atau Lambang Krafkayu
  3. Mempunyai Bintang Renjer Puteri 1
  4. Menganuti satu agama atau kepercayaan dan mengamalkan ajaran agama atau kepercayaan dan menghadiri perhimpunan / majlis keagamaan
  5. Menghantar borang permohonan yang perlu sampai di Ibu Pejabat Kebangsaan tiga (3) bulan sebelum calon meningkat umur 17 tahun
  6. Menghadiri Bengkel Cabaran Anugerah Ketua Pesuruhjaya dengan jayanya

Bengkel Cabaran Anugerah Ketua Pesuruhjaya

  1. BENGKEL CABARAN ANUGERAH KETUA PESURUHJAYA (CAKP) merupakan peluang peserta menggunakan pengetahuan Pandu Puteri dan pengetahuan am, khasnya dalam perkara-perkara berikut:
    • Sistem dan struktur Pandu Puteri
      - Pasukan sendiri, Daerah, Cawangan, Kebangsaan, dan Antarabangsa
    • Sistem dan struktur Kerajaan Malaysia
      - Pembangunan, Pendidikan, Perindustrian
    • Warisan dan adat resam masyarakat Malaysia
  2. CAKP merupakan peluang peserta membuktikan pengalaman Pandu Puteri masing-masing menerusi penyimpanan Buku Log dan melaksanakan beberapa CABARAN yang telah ditetapkan.
  3. Kandungan dan corak CAKP akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Anugerah Ketua Pesuruhjaya, Ibu Pejabat Kebangsaan, dan diluluskan oleh Ketua Pesuruhjaya.
  4. CAKP akan diadakan pada penghujung minggu sepanjang tahun atas permohonan calon, yang dibuat melalui Pesuruhjaya Cawangan.
  5. CAKP akan dikelolakan oleh Penguji yang dilantik bersama oleh Cawangan Persatuan Pandu Puteri berkenaan dan Ibu Pejabat kebangsaan.
  6. CAKP akan digunakan oleh Cawangan Persatuan Pandu Puteri dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk mengenal pasti dam membimbing bakal calon PANDU PUTERI RAJA.
  7. Prosidur permohonan:
    1. Bakal peserta menjalani Program Pandu Puteri dan telah lulus Ujian Kelas Dua dan Kelas Satu:
      • Telah lulus Ujian Tali Perkelilingan;
      • Telah memperoleh Bintang Puteri Satu dan sedang berusaha untuk mendapat pelbagai Lencana Kecekapan lain;
      • Telah memperoleh Permit Perkhemahan ATAU Lambang Kraf Kayu
      • Berumur antara 15 hingga 17 tahun
      • Telah mengemaskinikan semua Buku Log yang disyaratkan.
    2. Bakal peserta mengisi BORANG PERMOHONAN MENYERTAI BENGKEL CABARAN ANUGERAH KETUA PESURUHJAYA dan menghantar borang berkenaan kepada Ibu Pejabat Kebangsaan melalui Pemimpin, Pesuruhjaya Daerah, dan Ketua Pesuruhjaya Cawangan.
    3. Peserta mengambil bahagian cergas dalam BENGKEL CABARAN ANUGERAH KETUA PESURUHJAYA.
    4. Peserta menerima keputusan LULUS atau GAGAL tanpa bantahan.




PANDU PUTERI REMAJA


Pandu Puteri Remaja merupakan sebuah pasukan yang dianggotai oleh remaja perempuan yang berumur diantara 13 hingga 15 tahun. Setelah lulus ujian Pra-Persetiaan, barulah mereka dilantik sebagai Pandu Puteri Remaja. Pandu Puteri Remaja memakai pakaian seragam berwarna hujau dan biru tua. Ahli-ahli yang telah berjaya memperoleh lencana kecekapan memakai selepang di atas baju kemeja.

Cogan kata Pandu Puteri Remaja ialah “SELALU SEDIA”. Ini menunjukkan bahawa Pandu Puteri Remaja sentiasa berada dalam keadaan sedia menghadapi sebarang cabaran atau ujian. Cogan kata ini sentiasa dipegang oleh seseorang Pandu Puteri Remaja agar ia sedar akan tanggungjawabnya kepada diri dan negara khususnya.

Kronologi Penubuhan Pasukan Pandu Puteri
Pasukan Pandu Puteri Remaja pertama ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1917. Menjelang tahun 1919, Pandu Puteri telah berjaya ditubuhkan di negeri-negeri Pulau Pinang, di Perak pada tahun 1921, di Negeri Sembilan pada tahun 1924 dan di Melaka pada tahun 1925. Pada tahun 1932, Pandu Puteri juga telah ditubuhkan di Johor dan Kedah. Kedua-dua negeri ini juga adalah yang mula-mula sekali mengadakan kegiatan Pandu Puteri dalam bahasa Melayu.


Cogan Kata/Motto

"SELALU SEDIA"

Keahlian

  1. Pandu Puteri Remaja adalah gadis yang berumur antara 11 hingga 15 tahun.
  2. Mereka dilantik menjadi Pandu Puteri Remaja setelah lulus ujian Pra-Persetiaan.

Pasukan Pandu Puteri Remaja

  1. Jumlah ahli yang maksimum bagi sesuatu Pasukan Pandu Puteri Remaja adalah 36 orang dan jumlah minimum pula ialah 16 orang.
  2. Tiap-tiap satu Pasukan Pandu Puteri Remaja hendaklah mempunyai seorang pemimpin yang dikenali sebagai Kapten dan seorang penolong yang dikenali sebagai Leftenan.
  3. Tiap-tiap pasukan Pandu Puteri Remaja dalam sesebuah daerah hendaklah disahkan dahulu oleh Pesuruhjaya Daerah serta didaftarkan dengan secepat mungkin. Borang Pendaftaran hendaklah dipenuhi dan dihantar melalui Pesuruhjaya Daerah dan Pesuruhjaya Negeri kepada Ibu Pejabat Kebangsaan bersama-sama dengan yuran pendaftarannya.
  4. Tiap-tiap Pasukan Pandu Puteri Remaja dikehendaki membaharui pendaftarannya dan mengemaskinikan bilangan ahlinya dengan Ibu Pejabat Kebangsaan melalui Pesuruhjaya daerah dan Pesuruhjaya Negerinya. Pembaharuan ini tidak lewat daripada 31 Mac tiap-tiap tahun.

Persetiaan Pandu Puteri Remaja

"Bahawa dengan sesungguhnya saya berjanji dan bersetia dengan sedaya upaya saya, Menunaikan kewajipan saya kepada Tuhan, Raja dan negara saya Malaysia, Menolong orang setiap masa dan Mematuhi undang-undang Pandu Puteri Remaja"

Undang-Undang Pandu Puteri

  1. Seorang Pandu Puteri Remaja boleh dipercayai.
  2. Seorang Pandu Puteri Remaja sentiasa taat dan setia.
  3. Seorang Pandu Puteri Remaja suka menolong orang lain.
  4. Seorang Pandu Puteri Remaja bersahabat dengan semua orang dan bersaudara dengan semua Pandu Puteri Remaja yang lain.
  5. Seorang Pandu Puteri Remaja sentiasa bersopan.
  6. Seorang Pandu Puteri Remaja melindungi haiwan dan sentiasa memelihara alam sekitar.
  7. Seorang Pandu Puteri Remaja sentiasa menurut perintah
  8. Seorang Pandu Puteri Remaja bersemangat dan bergembira walaupun di dalam kesulitan.
  9. Seorang Pandu Puteri Remaja sentiasa berjimat cermat.
  10. Seorang Pandu Puteri Remaja suci dalam fikiran, perkataan dan perbuatan.

Hormat Pandu Puteri Remaja

Tiga jari tangan ditegakkan, ibu jari diletakkan di atas jari kelingking yang dibengkokkan. Tangan diangkat sehingga sama tinggi dengan dahi.

Pakaian Seragam Pandu Puteri Remaja

  1. Baju kemeja berwarna hijau
  2. Skaf (berwarna kuning)
  3. Jata Negeri
  4. Woggle
  5. `Shoulder Flashes'
  6. Lambang Kumpulan
  7. Lencana Dunia
  8. Lencana Pelantikan Pandu Puteri Remaja
  9. Seluar panjang biru tua
  10. Stoking hitam
  11. Kasut hitam
  12. Tudung hitam
Untuk senarai kelengkapan pakaian, KLIK SINI

Artikel lain...

Anda di sini: Home